January 04, 2026

TAMAR JALIS : EP 33 MUNTAHKAN ULAT DAN PAKU KARAT

 


TAMAR JALIS : EP 33  MUNTAHKAN ULAT DAN PAKU KARAT


"Kau nampak apa tu?", Pak Mardan menepuk bahu saya.

Dengan pertolongan cahaya lampu gasolin, saya dapat melihat dengan jelas sebatang kayu terpacak di halaman masjid, di hujung kayu bahagian atas terletak tengkorak manusia. Saya pandang wajah datuk.

Dia nampak serius, saya pandang wajah Pak Mardan, ada tanda‐tanda keresahan dimukanya.

"Datanglah, apa hajat kamu?", pekik datuk lagi dan lampu gasolin terus malap.


Kayu di tengah halaman masjid mengeluarkan cahaya api. Bunyi tapak kaki manusia memijak dahan dan ranting-ranting kering mula kedengaran dari tiap penjuru masjid, saya terasa bagaikan ada beribu manusia yang bergerak di sekeliling masjid. Datuk terus bertafakur lebih kurang lima minit. Bila dia membuka mata, lampu gasolin yang malap bersinar terang. Di halaman masjid terdapat seorang manusia berdiri di sisi kayu yang ada tengkorak.

"lnilah orang yang saya lihat dalam baldi di rumah pengantin tadi”, bisik Pak Mardan pada datuk.

Dengan tenang datuk anggukkan kepala lalu keluar dari masjid. Datuk berdiri berhadapan dengan orang itu. Suara katak dan cengkerik kian hebat. Angin juga mula bertiup agak ganas. Bila angin berhenti bertiup, hujan pun turun menambahkan rasa sejuk pada diri saya. Titik hujan yang halus itu terus menjadi kasar. Pak Mardan segera menarik tangan datuk. Orang yang berdiri dengan kayu itu terus memeluk tubuhnya. Titiktitik hujan tidak mengenai tubuhnya.

"Masuk, orang ini mahu membalas dendam”, beritahu Pak Mardan pada datuk.

Saya lihat datuk termenung sejenak. Dengan tenang datuk memegang kain hitam di kepala. Kain hitam itu dibukanya. Datuk simpulkan kain hitam itu hingga menjadi seketul, macam buku benang.

"Kalau niat kau baik, engkau tidak apaapa. Tetapi kalau niat kau buruk kau akan binasa”, ujar datuk pada lelaki ditengah halaman dari muka pintu masjid.

Datuk lemparkan kain itu ke arah lelaki tersebut. Bila kain itu jatuh di hujung kaki lelaki itu, kelihatan asap berkepul-kepul naik ke udara. Batang tubuh lelaki itu hilang dalam kepulan asap. Pak Mardan terus duduk lalu membaca beberapa mentera hingga hujan yang mula teduh berhenti sama sekali. Bila kepulan asap itu hilang, tengkorak yang yang berada di hujung kayu jatuh ke atas tanah. Batang tubuh lelaki itu segera bertukar menjadi hitam. Lidah lelaki itu terjujur keluar macam lidah anjing yang kehausan, biji matanya mula merah. Datuk menepuk tangan kanannya tiga kali ke bendul masjid. 

Orang lelaki di tengah halaman mula batuk dan muntah darah dua kali. Pak Mardan segera mengambil air dari dalam kolah satu gayung dan menyerahkan pada datuk.

"Tawarkan dia”, Pak Mardan menyarankan dan datuk terus menunaikannya.

Setelah datuk membaca sesuatu pada air didalam gayung, saya pula ditugaskan menyimbah air kebadan lelaki itu. Bila air dalam gayung terkena badan lelaki itu, kulitnya yang hitam segera bertukar macam biasa, dia sudah tidak muntah lagi. Pak Mardan menghampiri lelaki itu. Sebelum berdiri di hadapan lelaki tersebut, Pak Mardan terlebih dahulu membaca beberapa mentera. Dia menguncikan semua panca-indera lelaki tersebut. Saya merasa terkejut, bila secara tiba‐tiba Pak Mardan mendapatkan datuk semula.

"Awak tengok apa kerja maksiatnya selama ini”, suara Pak Mardan lemah.

Datuk terdiam, dia terus bertafakur lagi. Bila semuanya selesai datuk terus memberitahu Pak Mardan bahawa lelaki itu pernah meminang Halimah untuk dijadikan isteri mudanya. Pinangan itu di tolak oleh ayah Halimah kerana lelaki itu sudah beristeri sepuluh kali. Enam isterinya sudah diceraikan, empat masih dipakainya lagi. Dia hanya mengharapkan hasil dari titik peluh isterinya untuk menyarai dirinya.

Dia tidak pernah mahu melakukan sebarang pekerjaan. Dia lebih senang duduk di rumah atau berjalan ke sana ke mari dengan pakaian yang kemas. Walau pun usia sudah hampir lima puluh tahun, tetapi dia kelihatan muda, macam anak teruna yang berusia dua puluhan. Gagah dan tampan. 

Datuk juga memberitahu Pak Mardan lelaki itu tidak pernah mandi, kecuali kalau dia bertemu danau di tengah hutan yang ada teras kayu terendam di dalamnya. Kalau dia mandi, hanya memadai dengan sekali selam tanpa memakai kain basahan.

Bila air di badannya kering dengan sendiri barulah dia memakai baju dan seluar. Lepas itu, dia akan mengurungkan diri dalam bilik selama satu minggu. Masa dia mengurungkan diri dalam bilik itu dia akan melumurkan seluruh kulitnya dengan najisnya sendiri. Bila Pak Mardan mendapatkan penjelasan itu dari datuk, dia segera berdiri di hadapan lelaki itu.

"Kenapa kau berbuat begitu pada Halimah?", pertanyaan dari Pak Mardan itu, dijawab oleh lelaki itu dalam bahasa yang tidak dapat saya dan datuk faham.

Pak Mardan segera memberitahu datuk yang lelaki itu bercakap dalam bahasa Siam. Kerana Pak Mardan boleh bercakap Siam, lelaki itu terus dilawan bercakap dalam bahasa itu. Perbuatan itu tidak menyenangkan hati datuk. Datuk membuka tapak tangan kirinya dan terus membaca sesuatu.

"Orang ini menuntut ilmu bomoh Siam. Biar saya kembalikan hati dan perasaannya kepada bangsanya sendiri”, rungut datuk lalu melangkah ke arah lelaki itu.

Sebaik saja datuk sampai di hadapan lelaki itu, dia terus menampar perut lelaki itu dengan tapak kanannya. Lelaki itu menjerit lalu membongkok sambil memegang perutnya. Ketika itu juga lelaki tersebut muntah, dari mulutnya terkeluar segumpal kain kuning yang penuh dengan ulat, sebesar ulat nangka, bau kain kuning itu macam bau bangkai. Datuk menekan kain kain kuning itu dengan jari telunjuk kirinya hingga kain itu pecah.

Bila kain itu pecah bertaburan, kaca, batu dan ketul ketul daging jatuh keatas tanah. Ular hidup berserakan atas kawasan muntah orang lelaki itu. Pak Mardan mencari daun kayu lalu memukul tubuh lelaki itu dengan sekuat hatinya. Wajah lelaki yang tampan berubah menjadi kendur dan bergaris garis macam orang lelaki yang berumur lima puluh tahun. Lelaki itu rebah ke tanah. Datuk segera menghentakkan pangkal siku kirinya ke belakang lelaki itu dengan sekuat hatinya. Lelaki itu dengan tiba tiba bangun.

"Kau orang Islam?" tanya datuk.

"Ya saya orang Islam"

"Rukun Islam berapa perkara?"

"Lima perkara"

"Pertama apa dia?"

"Mengucap dua kalimah syahadah"

"Cuba kau mengucap dua kalimah syahadah"

Ternyata orang itu tidak dapat menunaikan permintaan datuk. Mata orang itu terkebil. Toleh kiri, toleh kanan macam orang ketakutan. Pak Mardan mengheret lelaki itu ditepi kolah.

"Kita mandikan dia sekarang”, kata Pak Mardan.

"Aku setuju”, balas datuk.

Saya pun menjiruskan air ke tubuh lelaki dengan gayung. Lelaki itu menggeletar. Dalam kedinginan dinihari bibirnya kelihatan biru. Lututnya berlaga sama sendiri. Datuk membuka seluar yang dipakai oleh lelaki itu, digantikan dengan kain dan baju Melayu kepunyaan Pak Mardan. Bila lelaki disuruh masuk ke masjid dia enggan. Perbuatan itu membuat datuk naik darah.

"Kenapa?", tanya datuk.

"Saya sudah bersumpah dengan guru saya. Tidak akan masuk masjid atau membaca AlQuran"

"Awak mengarut”, datuk mendorong lelaki ke pintu masjid.

Bila lelaki itu melangkah bendul dia jatuh dan dari tubuhnya keluar kepulan asap nipis. Serentak dengan itu terdengar deru angin yang amat kuat diluar masjid. Deru angin itu makin kurang dan akhirnya terus hilang. Datuk terus mengajarkan lelaki itu mengucap dua kalimah syahadah dan meminta dia bertaubat.

Cukup sukar untuk menyuruh lelaki itu bertaubat, dia begitu fanatik dangan ajaran gurunya. Sesudah berbagai pandangan diberikan padanya oleh Pak Mardan barulah dia mahu bertaubat.

"Awak tidak akan membalas dendam pada saya?", tanyanya pada Pak Mardan.

"Tidak. Aku mahu kau bertaubat dan jangan sekali kali mengulangi perbuatan yang lalu"

Mendengar cakap Pak Mardan lelaki itu terdiam. Walau bagaimanapun, datuk memberikan kesempatan pada lelaki itu membuat keputusan sendiri. Datuk tidak mahu memaksa dia. Datuk mahu dia kembali ke pangkal jalan dengan penuh keinsafan dan kesedaran.

Saya lihat lelaki itu duduk diatas anak tangga sambil tunduk memicit pangkal keningnya. Pak Mardan dan datuk hanya memperhatikan saja telatah lelaki itu dalam kedinginan malam yang mula merangkak ke subuh. Di langit, bintang timur mula bangkit bersama kokok ayam yang bertalu talu dari kampung berdekatan. Datuk menggeliat, dia tahu sebentar lagi orang‐orang kampung akan datang berjemaah di masjid.

Kalau boleh, datuk dan Pak Mardan tidak mahu orang orang kampung tahu tentang perbuatan lelaki itu.

Kalau orang orang kampung tahu bahawa angkara yang terjadi di malam pengantin berpunca dari lelaki itu, tentu sahaja lelaki itu akan menerima akibat yang buruk. Datuk dan Pak Mardan mahu menghindarkan kejadian itu dari berlaku dalam kawasan masjid.

"Bagaimana? Apakah lafaz taubat yang kau ucapkan tadi benar benar ikhlas atau ditekan oleh rasa terdesak?", soal Pak Mardan. Lelaki itu tidak menjawap.

"BertaubatIah dengan hati yang jujur. Janganlah kamu ulangi perbuatan yang terkutuk ini. Ilmu dunia tidak ada yang kekal, tidak ada siapa yang gagah dan berkuasa selain daripada Allah”, ujar datuk dengan nada suara yang lembut. Sinar mata datuk redup memandang wajah lelaki itu penuh simpati.

"Kalau kau dah sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan. Allah amat mencintai pada makhlukNya yang insaf”, Pak Mardan terus memberi nasihat.

Lelaki itu tidak menjawap. Dia tetap tunduk sambil memicit pangkal kening. Dan datuk sudah tidak boleh bersabar dengan perangai lelaki itu, waktu subuh sudah hampir. Dalam beberapa minit orang‐orang kampung akan sampai. Datuk tahu kalau dia tidak bertindak, bererti dia mendedahkan diri lelaki itu pada kecelakaan. Datuk lagi sekali menghampiri lelaki itu. Angin subuh yang bertiup memberi kesejukan pada diri saya. Kokok ayam terus juga bersahut‐sahutan. Bintang timur di kaki langit kian mengecil. 

Tiba tiba saya lihat datuk menekan tulang bahu lelaki itu dengan tangan kanannya sekuat hati. Saya lelaki itu rebah perlahan lahan, badannya kelihatan semacam lembik. Datuk pun berhenti menekan bahu lelaki itu.

"Pulanglah sebelum orang‐orang kampung datang. Kalau mereka datang kamu akan menerima padah yang buruk”, ujar datuk sambil menampar belakang lelaki itu dengan tapak tangan kirinya.

Lelaki itu bagaikan tersedar dari tidur. Toleh kanan dan mula mahu menyembah kaki datuk. Datuk terus menolak lelaki itu hingga tersungkur ke belakang.

"Jangan perlakukan aku macam itu, antara kita tidak ada siapa yang besar dan harus disembah.

Menyembah manusia dan patung perbuatan yang salah dari segi hukum Islam”, kata datuk dalam dingin subuh itu.

Lelaki itu bangun, matanya merenung wajah datuk. Dahinya masih berkerut. Dia membuka mulut sambil berkata: "Jika aku bertaubat kau tidak akan melakukan sesuatu pada aku?"

"Jangan bertaubat kerana takutkan manusia, bertaubatlah kerana insaf dan cinta kau pada Allah”, balas datuk.

Lelaki itu menarik nafas panjang. Matanya masih merenung wajah datuk meminta simpati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dirinya. Datuk meminta dia bercerita bagaimana puncanya dia boleh menuntut ilmu yang bertentangan dengan agama Islam yang suci. Menurutnya, dia terdorong menuntut ilmu salah itu berpunca dari masyarakat di kampungnya yang tidak mahu memaafkan atas perbuatan yang dilakukannya. Meskipun dia mengakui pada mereka, perbuatan itu terpaksa dilakukan kerana terdesak.

"Apa yang kau buat?", tanya Pak Mardan.

"Saya mencuri dua kepul besar padi untuk anak saya yang sakit"

"Bila kau lakukan perkara itu?", datuk pula menyoal.

"Masa mula mula Jepun datang ke Malaya. Mereka adukan perbuatan saya itu pada Jepun. Saya disiksa meskipun saya menyembah kaki orang yang punya beras itu untuk meminta maaf"

"Lagi?" tanya datuk lagi.

"Saya merasa malu, anak isteri saya merasa malu. Akhirnya saya lari ke Selatan Siam dan menuntut ilmu ini dengan harapan saya akan dihormati dan dikagumi”, jelas lelaki itu dengan jujur.

Datuk dan Pak Mardan berpandangan.

"Tetapi, bila sudah ada ilmu kau jadi manusia yang takbur dan mahu tunjuk kuasa lalu memeras orang lain untuk hidup”, ujar datuk lagi.

Lelaki itu terdiam dan termenung panjang. Datuk dan Pak Mardan tidak tahu apa yang bermain dalam tempurung kepalanya.

"Jangan takut dan merasa malu sesama manusia, tetapi takut dan malulah pada Allah yang memberikan kau nyawa, tubuh badan dan pancaindera yang tidak ternilai harganya buat kau, bersyukurlah pada kuasaNya dengan mengikut segala suruhanNya dan menjauhi dari perbuatan yang ditegahNya”, datuk terus memberikan penerangan.

Lelaki itu kelihatan resah. Dia mundar mandir di halaman masjid. Duduk di anak tangga masjid kembali.

Tiba‐tiba dia batuk bertalu talu. Dia menguruturut dadanya dengan tangan. Nafasnya kelihatan sesak.

Bibirnya kelihatan kehitam hitaman. Saya mula tercium bau kapur barus, bau sintuk dan limau yang selalu digunakan untuk memandi mayat. Datuk menghampiri lelaki itu yang mahu merebahkan badannya atas tanah.

Datuk berdiri lutut, kepala lelaki itu diletakkannya atas peha kanan. Pak Mardan dan saya berpandangan. Subuh sudah pun tiba, sebentar lagi masjid itu akan didatangi oleh orang‐orang kampung. Kokok ayam juga sudah mula berkurangan, tidak serancak tadi. Tetapi rasa sejuk terus menggigit kulit badan bersama hembusan bayu subuh yang tenang. Langit biru kelihatan bersih, bersama kepulan awan yang berbagai bentuk. Sesekali saya terdengar bunyi ranting getah dan cempedak yang reput jatuh ke bumi. Saya menoleh ke arah tanah kubur yang terletak di sebelah kanan masjid. Samarsamar saya lihat batu nisan terpacak kaku.

"Badannya dah lemah, gerak nadinya juga lemah”, beritahu datuk pada Pak Mardan.

Mata lelaki itu tegak memandang langit, mata hitamnya sudah tidak bercahaya lagi. Datuk rasa cuping lelaki itu.

"Dia ni dah parah macam terkena bisa”, tambah datuk sambil meraba seluruh kulit lelaki itu.

Tiba‐tiba datuk meletakkan tapak tangan kirinya ke atas ubunubun kepala. Mulutnya bergerak gerak membaca beberapa ayat dari Surah Yasin.

"Ilmu yang dituntutnya memakan dirinya sendiri”, keluh datuk dan dahi datuk kelihatan berpeluh.

Pak Mardan menekan bibir bawahnya dengan gigi atas. Dalam keadaan yang agak gawat itu, saya lihat lelaki itu menarik nafas panjang dan terus mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar dan jelas.

Sebaik saja dia selesai mengucap, nafasnya terus terhenti dan datuk merapatkan kelopak matanya dengan menggosokkan ibu jari kiri pada kulit matanya.

"Allah sayangkan dirinya dan dia mati sebagai seorang Islam. Pada zahirnya kita lihat dia sesat dan jauh terpesong dari ajaran agama. Tetapi dengan kuasa Allah dia sempat mengucapkan dua kalimah syahadah”, keluh Pak Mardan.

Datuk pun mengangkat mayat lelaki itu ke dalam masjid.

"Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa dan kita sebagai manusia tidak berhak menjatuhkan hukuman pada seseorang itu sebagai murtad atau kafir. Yang berhak menentukan semuanya ini adalah Allah. Dan Allah akan menghitung amalan dan kejahatan seseorang, "kata datuk pula.

Orang orang kampung yang ke masjid subuh itu terkejut melihat mayat dalam masjid. Datuk lalu memberitahu orang kampung apa yang terjadi. Akibatnya, timbul perbalahan kecil kerana ada orang orang kampung yang tidak mahu menanamkan jenazah lelaki itu.

"Kamu harus ingat, tanggungjawab orang yang hidup ialah menguruskan mayat ini dengan sempurna, kalau tidak ada seorangpun yang mahu menyempurnakannya seluruh penduduk kampung ini menanggung dosa. Ini fardhu kifayah. Soal dia membuat dosa itu ialah urusan dia dengan Allah”, suara datuk lantang.

Orang kampung yang baru selesai sembahyang subuh berpandangan sesama sendiri. Dan perbalahan yang terjadi terus hilang. Semuanya bersetuju menguruskan mayat lelaki itu.

Akhirnya Pak Mardan dapat juga mengetahui asalusul lelaki itu. Dia berasal dari satu kawasan di Perlis yang letaknya berhampiran dengan sempadan Siam. Dia datang kesitu kirakira sepuluh tahun yang lalu, membeli sekeping tanah yang letaknya agak terpencil dari kawasan rumah orang‐orang kampung disitu.

Setelah urusan mengkebumikan jenazah selesai, Pak Mardan, saya dan datuk bersiap siap untuk meninggalkan daerah kampung Sungai Tinggi. Sebaik saja kami melangkah keluar dari masjid, beberapa orang kampung datang menemui datuk. Mereka minta datuk dan Pak Mardan tinggal beberapa hari lagi di situ.

"Kenapa?", cukup lembut Pak Mardan bertanya pada mereka.

"Kami bimbang kalau ada sesuatu yang buruk terjadi”, balas orang kampung.

Datuk garu pangkal kening kiri dua kali. Datuk renung ke langit melihat awan putih yang berarak tenang.

Datuk renung muka orang kampung.

"Kenapa kita mesti takut pada cerita yang belum terjadi? Kenapa kita tidak takut pada pada Allah?

Kenapa kita tidak memohon perlindungan dariNya, Allah yang berkuasa. Penuhkan masjid dan surau bila sampai waktu sembahyang, bacalah Surah Yasin dengan betul pada setiap malam daripada menghabiskan masa dengan bersembang tidak tentu arah”, terang datuk sambil memasukkan kad pengenalannya ke dalam saku baju.

"Kalau ada awak lagi baik”, balas orang kampung.

"Saya pun memohon dan minta pada Allah. Ingatlah Allah sayangkan orang yang mencintai diriNya.

Biarlah kami pulang, saya akan menolong awak jika difikirkan perlu”, datuk pun menarik tangan saya, meninggalkan kawasan masjid dengan diikuti oleh Pak Mardan.

Orang orang kampung hanya memandang langkah kami yang telah menuju ke tepi jalan raya. Kerana hari masih awal baru jam dua petang, Pak Mardan mengajak datuk pergi ke Taiping untuk membeli beberapa helai kain pelekat cap siput. Datuk pun memenuhi permintaan Pak Mardan, cara kebetulan pula datuk mahu membeIi beberapa butir kemenyan putih serta pulut hitam. Sementara menanti bas dari Pantai Remis ke Taiping, datuk dan Pak Mardan terus bercakapcakap.

"Aneh juga manusia yang meninggal tu”, Pak Mardan memulai bicara.

Datuk tersengih sambil menekan daun rumput dengan hujung kasut capal buatan orang Minang. Saya sudah diatas batu tanda jalan.

"Usahlah dikenang dan disebut orang yang dah mati”, balas datuk.

"Kenapa awak tak berusaha mengubatinya?”, Pak Mardan bertanya.

"Bila ajal seseorang itu sudah sampai, tidak ada siapa yang boleh menahannya"

"Kita boleh berikhtiar"

"Menurut cakap guru aku, seorang dukun atau pawang hanya boleh mengubati dan menyembuhkan penyakit setakat 99 jenis penyakit saja dengan izin Allah”, balas datuk.

Pak Mardan menggosok gosok batang hidungnya dengan ibu jari kanan. Kerana terlalu lama digosok batang hidungnya yang dempak itu menjadi merah dan berkilat bila dipanah sinar matahari.

"Penyakit ini ada berapa jenis?", soal Pak Mardan sambil berhenti menggosok batang hidung. Matanya tajam merenung wajah datuk.

"Kata guru aku yang diketahui ada 100 jenis, manusia cuma boleh berikhtiar dan berusaha mengubatinya setakat 99 saja yang satu lagi tetap menjadi hak Allah. Di sinilah letaknya timbang rasa dan kasihnya Allah pada manusia, dia cuma mengambilnya satu saja. Manusia sudah merasa berat sedangkan yang 99 itu dia suruh manusia berikhtar mencari ubatnya sesuai dengan peredaran masa dan zaman”, datuk bagaikan berkuliah di hadapan Pak Mardan.

Bas yang dinanti pun tiba. Kami pun naik, lebih kurang 45 minit berada dalam perut bas, kami pun sampai diperhentian bas bandar Taiping yang tidak mempunyai bangunan. Dari situ kami bergerak menuju ke bangunan kedai batu sederet yang terletak dijalan besar. Masuk ke kedai menjual kain pelekat kepunyaan India Muslim. Setelah berlaku tawar menawar antara Pak Mardan dengan penjual kain pelekat, Pak Mardan setuju membeli sehelai kain pelekat cap siput yang bercorak besar.

"Untuk dipakai masjid”, kata Pak Mardan pada saya.

"Cukup cantik warnanya”, balas saya.

“Warna tak penting yang penting berapa lama kain ini boleh digunakan”, sahut datuk lalu saya dan Pak Mardan ketawa.

Tuan punya kedai tersenyum dan memasukkan wang yang diambil dari Pak Mardan ke dalam laci yang bermeja panjang. Dari kedai itu, kami menuju ke pasar besar Taiping untuk membeli kemenyan putih dan pulut hitam dari pekedai Melayu. Memang jadi kebiasaan pada diri datuk lebih suka membeli barang dikedai Melayu. Kalau tidak ada, baru dia pergi ke kedai India Muslim.

Saya kira datuk menyimpan sedikit rasa perkauman. Tetapi, bila hal itu diajukan padanya datuk

menafikan dengan alasan dia berbuat begitu bukan kerana sikap perkauman. Dia mahu menolong bangsanya yang agak mundur dalam bidang pemiagaan.

"Kalau aku tidak tolong bangsa aku, siapa lagi?" katanya.

Memang ada lojiknya cakap datuk itu. Ketika datuk memilihmilih kemenyan putih yang baik, dia bertemu dengan seorang kenalannya dari Gunung Semanggul, seorang ulama terkenaI di Perak dan pengasas sekolah AlEhya AlShariff, iaitu Ustaz Abu Bakar Al Baqir (sudah meninggal dunia). Datuk memperkenalkan kawannya itu dengan Pak Mardan. Setelah bertanya khabar tentang anak isteri, datuk terus bercerita pada kawannya itu yang memakan masa lebih kurang sepuluh minit. Mereka bersalam dan berpisah. Dari pasar kami bergerak menuju ke sebuah kedai buku. Di kedai buku itu datuk membeli beberapa buah kitab yang bertulis jawi.

No comments:

Post a Comment