December 28, 2025

TAMAR JALIS : EP32 - BOMOH HUJAN KENA UJI

 


 TAMAR JALIS : EP32 – BOMOH HUJAN KENA UJI


"ltu memang kerjanya. Dalam Surah AnNisa telah menjelaskan kerjakerja syaitan yang berbu‐nyi: Dan kehendak syaitan itu ialah menyesat‐kan kamu satu kesesatan yang jauh”, ujar datuk lagi.

Ketua kampung angguk kepala. Perbualan datuk dengan kedua kampung cukup rancak sekali. Banyak benar kisah yang datuk dengar dari ketua kampung. Malah datuk sendiri tidak merasa segan dan silu mencari penga‐lamanpengalamannya di masa lalu. Perbualan mereka terganggu bila anak gadis tok ketua yang dikiranya menganggu perbualan antaranya dengan datuk.


"Apa halnya”, kata ketua kampung.

Osman segera bangun dan mere‐nung tajam ke wajah anak gadis ketua kampung yang berambut panjang, berkulit putih. Mukanya bujur sirih. Tinggi lampai dan berleher jinjang. Saya memang tertarik dengan gadis desa berwajah ayu itu. Bila saya lihat wajah Osman, rasa tertarik yang mula berputik di hati segera saya padamkan.

"Ada orang datang ayah"

"Siapa?"

"Pak Mardan bomoh hujan"

"Hum, sekejap lagi aku balik"

Anak gadis ketua kampung meninggalkan kawasan pondok Osman. Kerana waktu makan tengahari sudah hampir, ketua kampung mengajak kami pergi bersamanya sekali.

"Eloklah tu, saya ingin juga berkenalan dengan bomoh hujan tu, kalau dia baik hati dapat saya menuntut ilmu darinya”, datuk segera bangun.

"Dia tu bukan orang lain dengan saya, kami satu pupu”, tingkah ketua kam‐pung dengan tenang.

Ada rasa megah dalam dirinya kerana datuk mahu menuntut sesuatu dari sepupunya. Lepas makan tengahari datuk dapat bercakap panjang dengan Pak Mardan yang sudah berusia hampir lima puluh tahun. Orangnya tegap. Memelihara misai, janggut dan jambang. Dia tinggal di Kampung Kota yang terletak lebih kurang dua batu dari pekan kecil Bruas dalam daerah Manjung. Menurut Pak Mardan, dia kenal baik dengan bomoh patah yang tinggal sekampung dengannya iaitu Bedul Hasyim. Datuk minta Pak Mardan menyampaikan salamnya pada Bedul Hasyim bila dia pulang ke kampungnya kelak.

"Dengan izin Allah akan saya sampaikan”, katanya.

"Saya dah lama tidak jumpa dia"

"Dia masih sihat lagi”, balas Pak Mardan.

Menurut Pak Mardan dia dalam perjalanan ke Sungai Tinggi (sebuah kampung yang terletak dalam daerah Matang, lebih kurang dua puluh batu dari bandar Taiping). Dia diundang oleh anak saudaranya kerana anak saudaranya mahu menikahkan anak perempuannya dengan orang dari Gunung Semanggul.

 "Tujuan mengundang kita tu ada tujuan yang tertentu”, keluh Pak Mardan sambil merenung muka ketua kampung.

"Apa tujuannya?", soal Osman.

"Tenaga aku ni diperlukan anak buah, bila mahu menghalau hujan”, Pak Mardan melahirkan rasa hampanya, disambut oleh ketua kampung dengan ketawa memanjang.

Bila Pak Mardan mengajak datuk pergi ke Sungai Tinggi datuk menolak dengan alasan dia tidak dijemput ke majlis nikah kahwin. Tetapi bila Pak Mardan dan ketua kampung menyatakan bahawa mereka telah diberi kuasa untuk menjemput orang lain ke majlis orang nikah kahwin itu, datuk menerimanya dengan senang hati. Saya mengerti, tujuan utama datuk menerima undangan itu bukanlah kerana mahu makan nasi minyak. Tetapi dia mahu belajar serba sedikit tentang ilmu menahan hujan dari Pak Mardan.

Esoknya saya, Pak Mardan dan datuk terus pergi ke Sungai Tinggi. Kami bertolak dengan bas dari Segari pada sebelah pagi dengan bas. Ketua kampung dan keluarganya bertolak lebih lewat daripada kami.

Kedatangan kami di sambut dengan ramah oleh anak saudara Pak Mardan. Kami sempat menyaksikan acara akad nikah yang diadakan pada sebelah pagi, lebih kurang di antara pukul sepuluh hingga sebelas.

Acara naik pelamin diadakan kirakira pukul empat petang setelah tetamu yang dijemput selesai makan.

Pak Mardan merasa senang kerana tidak ada tanda‐tanda hari akan hujan. Beberapa orang anak muda di situ melancarkan kutipan memungut wang secara kilat bagi mengundang pancaragam dari bandar Taiping pada sebelah malamnya. Kutipan itu, ternyata tidak cukup dan nasib baik pihak tuan rumah sanggup menambahkan bahagian yang tidak cukup itu. Majlis perkhawinan itu bertambah rancak dengan kehadiran pancaragam dari Taiping itu yang membawakan lagulagu rancak dan irama Melayu asli yang disampaikan para penyanyi dari pancaragam tersebut, antara penyanyinya ialah Kamal Harun, Aida Suhana dan Zainal Udah.

Walaupun begitu rancak pancaragam dari Taiping mempersembahkan permainannya, saya lihat Pak Mardan tetap gelisah, begitu juga dengan datuk. Bagi menghilangkan rasa resah itu Pak Mardan terpaksa menghisap rokok tembak berbelasbelas batang. Pak Mardan menarik tangan datuk untuk pergi ke satu sudut.

"Aku rasa ada sesuatu yang tak kena malam ni”, Pak Mardan menyatakan pada datuk.

Datuk termenung panjang mendengar cakap Pak Mardan itu. Dia meraba pangkal kening kanan tujuh kali, meraba telinga kiri lima kali.

"Usah bimbang, kalau ada yang perlu saya tolong tetap saya tolong”, kata datuk. Walaupun begitu wajahnya saya lihat agak sugul sedikit.

"Malam ini ada majlis bersanding?", datuk menyoal Pak Mardan.

"Ada. Sekejap lagi pengantin lelaki datang”

"Kalau begitu eloklah kita kita beringatingat, manalah tahu kalau ada hal buruk terjadi"

 "Saya faham tu”

Pak Mardan dan datuk duduk kembali di tempat asal. Bila orang ramai mula datang mahu melihat pengantin naik pelamin, tiba‐tiba hujan turun mencurahcurah bersama dentuman petir dan guruh.

Muka Pak Mardan kelihatan pucat, dia lalu membisikkan pada datuk bahawa hujan yang turun malam itu, bukan sebarang hujan. Pak Mardan yakin hujan itu dibuat oleh manusia dengan kuasa ilmu halus yang tujuannya tidak baik. Hujan jenis ini amat berbahaya buat manusia, sebabnya di dalam air hujan itu terkandung berbagaibagai kekotoran buatan manusia, begitulah Pak Mardan memberitahu datuk.

"Kau tunggu di sini Mardan”, kata datuk, sebaik sahaja ungkapan itu berakhir, saya dapati datuk ghaib dari penglihatan saya.

Pak Mardan terpingapinga. Lebih kurang lima minit datuk menghilangkan diri. Dia muncul kembali dihadapan saya dan Pak Mardan.

"Aku setuju dengan kau Mardan, kita hadapi semuanya ini”, tekanan suara datuk mula meninggi.

Lalu datuk minta Pak Mardan mencari baldi plastik untuk menadah air yang turun dari curung (hujung) atap. Bila air sudah penuh satu baldi, datuk merendamkan tangan kirinya ke dalam baldi itu. Pak Mardan dan saya jadi terkejut bila melihat tangan datuk hitam dan air dalam baldi bergolak. Muka datuk merah padam mulutnya membaca sesuatu, tiba‐tiba baldi plastik itu pecah.

"Aku rasa kau saja selesaikan semua urusan ini. Kau sudah tahu hujan itu buatan manusia jahat", datuk memberikan amanat pada Pak Mardan. Dengan senang hati Pak Mardan menerimanya dan meminta saya membantunya.

"Bantulah dia Tamar. Aku ada, bukan apaapa kau hanya melihat saja”, datuk memberikan keizinan pada saya. Dia juga memberikan saya beberapa butir batu gunung yang putih untuk di taruh dalam kocek baju.

"Mardan, dalam dugaan aku, orang ini mengirimkan gunaguna melalui hujan buatannya pada pengantin perempuan”, pesan datuk pada Pak Mardan.

Saya lihat Pak Mardan anggukkan kepala lalu meminta baldi plastik yang baru dari tuan rumah. Dia menadah air hujan hingga penuh satu baldi. Kemudian Pak Mardan mengajak saya masuk kerumah dan terus ke bilik pengantin.

"Usah bimbang, aku ni pangkat datuk pada kau”, Pak Mardan memberitahu pada pengantin perempuan yang duduk terseliput dihadapan katil. Kemudian Pak Mardan meminta pada pengiring pengantin supaya membawa pengantin itu ke bilik lain. Permintaan Pak Mardan dituruti. Tinggalah saya dan Pak Mardan dalam bilik itu. Pak Mardan terus membasuh seluruh mukanya dengan air hujan di dalam baldi.

Dia kemudiannya memusatkan seluruh pancaindera dan membaca mantera yang dipelajari dari gurunya. Saya lihat mulut Pak Mardan bergerak sebanyak 29 kali. Bila mulutnya bergerak untuk kali yang ketiga puluh, saya terdengar bisikbisik halus dari jauh yang tidak menentu. Tetapi akhirnya saya dengar nama Halimah disebutsebut.

 "Apa yang kaudengar?", Pak Mardan menyoal saya.

"Orang memanggil nama Halimah"

"Halimah tu nama pengantin tadi, kita masih ada masa untuk berusaha"

"Kau tunggu di sini"

Pak Mardan terus keluar. Saya mula terasa khayal tidak menentu, bermacammacam bunyi yang saya dengar. Rasa khayal itu segera hilang bila Pak Mardan menepuk bahu kiri saya. Bila saya menoleh ke belakang, pengantin perempuan sudah ada dalam bilik. Pak Mardan menyuruh pengantin perempuan itu duduk di tepi katil. Dia juga menyuruh tuan punya rumah memberitahu orang ramai dan pihak pengantin lelaki acara bersanding terpaksa ditangguh dengan alasan Halimah sakit. Pak Mardan menyuruh Halimah memegang besi kuning yang diberikan oleh Pak Mardan padanya.

"Kau pegang besi kuning tu kuatkuat, jangan kau lepaskan walau ada yang terjadi. Kau jangan menjerit”, itulah pesan Pak Mardan pada Halimah.

Saya lihat Halimah anggukkan kepala. Kemudian saya dan Pak Mardan keluar dari bilik pengantin. Pak Mardan membimbit baldi. Hujan dan petir terus menjadijadi.

"Ke mana Pak Mardan?"

"Ke bahagian belakang rumah"

Saya dan Pak Mardan memijak anak tangga dengan teliti. Bila sampai dihadapan datuk, Pak Mardan tersenyum.

"Buatlah apa yang patut. Aku menanti di sini kerana perbuatan jahat dibuat melalui air hujan eloklah kau saja yang selesaikan. Kau lebih arif dari aku”, cukup tenang datuk bercakap dan Pak Mardan menerimanya dengan rasa yang tenang.

Pak Mardan dan saya terus ke bahagian belakang rumah. Lama juga Pak Mardan berlegarlegar di situ.

Hujan terus turun mencurahcurah. Petir dan kilat sabungmenyabung di malam yang pekat. Saya dan Pak Mardan naik ke bilik pengantin. Halimah masih memegang besi kuning eraterat. Pak Mardan meletakkan baldi di sudut bilik dan terus duduk di situ.

"Kau Tamar, duduk dekat lutut aku ni”, Pak Mardan memerintah dan saya patuh pada perintahnya.

Pak Mardan merenung ke muka Halimah yang sudah kelihatan cemas. Saya lihat mulut Pak Mardan bergerak-gerak. Saya tidak tahu apa yang di bacanya.

"Kau jangan tegur apa yang kami buat Halimah. Aku tahu sebahagian dari anak rambut kamu sudah terkena tempias air hujan”, suara Pak Mardan parau.

Matanya mula bersinar garang. Pak Mardan terus bersemadi di depan baldi di plastik berwarna merah.

Dalam masa itu Pak Mardan menumpukan seluruh per‐hatian pada ilmu yang di tuntut dari gurunya, saya lihat baldi dalam air plastik merah bergerak macam air sedang mendidih. Diluar hujan terus mencurah‐curah, cahaya petir jelas kelihatan menyelinap ke dalam bilik pengantin. Kerana saya ada mendapat petua sedikit dari datuk bagaimana mahu me‐numpukan seluruh pancaindera pada alam lain, saya segera melakukannya. Me‐mang saya terasa yang diri saya terpisah dari keadaan keliling.

Saya berhadapan dengan satu alam yang sunyi dan tenang. Lebih kurang setengah jam kemudian, saya terdengar sayupsayup bunyi berdesing. Makin lama, makin jelas bunyi itu seperti benda yang sedang terbang me‐nuju ke arah bilik pengantin. Tidak lama kemudian terdengar bunyi ledakan yang cukup kuat di atas bumbung rumah, bunyinya macam letupan meriam buluh. Serentak dengan ledakan itu, saya terdengar bunyi besibesi kecil berlaga sesama sendiri. Saya juga terdengar bunyi logam berjatuhan dari tulang bumbung berhampiran dengan hujung kaki Halimah. Bila saya membuka mata, saya dapati Halimah tidak sedarkan diri. Di hujung kakinya terdapat berpuluhpuluh batang paku, kaca dan jarum karat berserakan. Pak Mardan segera menghampiri saya.

"Kalaulah kita terlewat Tamar, aku tidak dapat membayangkan apa yang terjadi”, ujar Pak Mardan pada saya sambiI meraba pangkal kening sebelah kiri. Bunyi suara hujan diluar mula berkurangan. Tiba‐tiba terdengar bunyi letupan kecil betulbetul di hujung kepala lutut Pak Mardan. Saya lihat Pak Mardan rebah atas lantai, mukanya segera bertukar menjadi kehitamhitaman. Saya mengelabah, paku dan besi buruk serta jarum karat bagaikan bergerakgerak ke arah saya dan Pak Mardan.

"Datukkkk tolongggg”, pekik saya dengan sekuat hati. Ketika itu saya rasa batang leher saya cukup panas, bila menelan air liur terasa pedih. Punggung saya bagaikan berada di atas bara api. Dalam keadaan yang gawat itu, saya dapati datuk sudah pun berdiri diambang pintu.

"Bertenang”, kata datuk lalu melemparkan kain hitam yang terselepang di dada atas lantai.

Pak Mardan boleh bergerak dan duduk semula seperti asli. Leher saya tidak terasa panas lagi, punggung saya kembali berada di atas papan lantai.

"Kau saja selesaikan perkara ini Mardan”, kata datuk.

Pak Mardan anggukkan kepala. Datuk terus duduk bersila di tengah pintu. Halimah masih lagi terkapar di kaki katil macam mayat. Tetapi besi kuning masih berada dalam dalam genggamannya.

"Bantu saya kalau saya tewas”, beritahu Pak Mardan pada datuk.

"Saya akan bantu mana yang patut, Allah bersama kita”, balas datuk.

Pak Mardan pejamkan mata, saya juga begitu. Tidak ada sesuatu yang aneh berlaku. Pak Mardan menampar paha kanan saya sekuat hati.

"Begini saja. Kau dan aku samasama melihat air dalam baldi”, bisik Pak Mardan sambil merenung ke wajah datuk.

Dan datuk bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Pak Mardan pada saya. Datuk anggukkan kepala kepada saya dengan maksud supaya mematuhi apa yang diperintahkan Pak Mardan. Saya pun merenung ke arah air di dalam baldi, saya lihat air di dalam baldi bergerak macam air sedang mendidih, mengeluarkan asap tebal macam asap rokok, berlegarIegar di permukanan baldi, asap itu naik meninggi dan akhirnya terus hilang. Saya mula terhidu bau hamis, seperti bau darah seekor ayam yang baru disembelih.

Kepala saya terasa pening tetapi saya masih lagi dapat mendengar bunyi hujan yang kian berkurangan diluar. Pandangan saya jadi berpinarpinar. Dalam samarsamar itu, saya lihat bayangan wajah seorang lelaki yang tidak saya kenali. Dalam keadaan saya terkhayal itu, saya lihat Pak Mardan menepuk air di dalam bilik. Kemudian Pak Mardan menutup permukaan baldi dengan kain putih. Datuk melihat saja dengan apa yang dilakukan oleh Pak Mardan. Halimah mula bergerak dan melepaskan besi kuning yang di genggamnya.

"Kau terlepas dari bahaya Halimah”, kata Pak Mardan dan menyuruh Halimah beredar dari situ.

Hujan berhenti terus. Orang ramai mula membetulkan kainkain khemah yang jatuh dirempuh angin.

Pancaragam dari Taiping diminta meneruskan permainannya kembali. Pak Mardan terus menemui ayah

Halimah dan minta meneruskan acara yang telah ditetapkan. Walaupun acara bersanding agak lewat diadakan dari masa yang ditetapkan, orang ramai tidak merasa kecewa malah memuji pihak tuan rumah yang sanggup mengadakan majlis tersebut. Upacara bersanding berjalan dengan penuh kemeriahan.

"Semuanya sudah selamat”, kata datuk pada Pak Mardan yang ketawa kecil melihat pengantin perempuan dan lelaki di atas pelamin.

Bila upacara bersanding selesai, Pak Mardan terus menerpa ke bilik Halimah untuk mengutip paku dan besi yang berserakan.

Malam itu saya dan datuk serta Pak Mardan tidur di masjid. Pada mulanya pihak tuan rumah melarang kami tidur di masjid. Setelah diberitahu oleh Pak Mardan bahawa tindakan itu bukanlah berniat mahu memalukan tuan rumah, tetapi bertujuan menghindarkan sesuatu yang buruk terjadi kalau Pak Mardan masih ada di situ, orang yang berniat jahat terhadap Halimah akan mengulangi perbuatan terkutuknya.

Alasan itu, dapat diterima oleh pihak tuan rumah dengan baik.

Banyak perkara yang ditanya oleh datuk pada Pak Mardan berhubung dengan ilmu menahan hujan. Saya lihat datuk cukup berminat belajar sesuatu dari Pak Mardan. Rasa meluat mula datang dalam hati saya terhadap sikap datuk itu. Apa perlunya datuk mencari ilmu lagi? Apakah dia tidak terfikir usianya sudah lanjut? Apakah ilmunya yang ada tidak mencukupi? tanya saya dalam hati sambil menyandarkan badan pada pada tiang seri masjid.

"Saya bukan apaapa, sekadar mahu tahu saja. Bukankah belajar dan me‐nambahkan ilmu pengetahuan itu memang dituntut oleh agama Islam”, saya terdengar suara datuk agak meninggi.

"Memang”, sahut Pak Mardan.

 "Saya teringat tentang Surah ArRahman ayat 33 yang bermaksud lebih kurang begini: Wahai para jin dan manusia! Kalau kamu sanggup me‐nembus sempadan langit dan bumi, maka tembuslah. Kau tak akan sanggup melintasi melainkan dengan kekuatan”, ujar datuk dengan tenang.

Pak Mardan tersenyum seraya berkata, "Maksud kekuatan dari ayat itu ialah ilmu pengetahuan"

"Betul. Tepat sekali cakap awak tu”, sahut datuk.

Kedua‐duanya saling tepuk ‐menepuk antara satu sama lain. Melihat dari cara mereka bercakap itu, saya segera membuat kesimpulan antara datuk dan Pak Mardan memang terdapat rasa persefahaman.

Tetapi secara tidak langsung antara mereka masih mahu menunjukkan yang diri masingmasing sama-sama tahu. Dan saya kira kalau datuk masih meneruskan sikapnya itu, Pak Mardan tidak begitu mudah mahu melahirkan sesuatu yang dia tahu pada datuk.

Suasana di luar masjid cukup gelap. Suara cengkerik dan katak bersahutsahutan. Saya merasa kedinginan dan kelopak mata mula rasa agak berat. Dua kali saya men‐guap panjang. Barangkali datuk mula sedar bahawa Pak Mardan tergolong dalam golo‐ngan orang yang agak sombong dan membanggakan diri, yang mengakui dirinya tidak begitu pandai tentang halhal ilmu dunia.

"Saya ni baru sangat dalam hal ini. Ilmu dunia tidak sebanyak mana, ilmu akhirat lagi kurang, saya masih belajar”, begitu lemah nada suara datuk.

Ekor matanya menjeling ke arah saya dalam sinaran lampu gasolin yang sekejap terang dan sekejap gelap. Mendengar kata‐kata datuk itu, Pak Mardan termenung panjang. Dia kerutkan kedua belah keningnya, macam memikirkan sesuatu.

“Saya tidak ada kuasa untuk menahan hujan”, katanya lemah.

"Jadi apa yang awak buat?", sanggah datuk.

"Awak ini macam tak tahu pula, bukankah AIlah berkuasa atas segalagalanya. Saya mohon doa pada Allah minta hujan jangan turun di suatu kawasan"

"Lagi apa yang awak buat?"

"Mengamalkan beberapa petua dari nenek moyang itu saja. Setakat ini permohonan saya diberkati, itu saja yang buat"

Datuk anggukkan kepala mendengar keterangan dari Pak Mardan. Tetapi datuk merasakan Pak Mardan menyembunyikan sesuatu darinya. Kerana itu datuk agak keberatan bila Pak Mardan menyuruh dia baring di atas lantai masjid. Datuk terus melawan dia bercakap hingga Pak Mardan memberitahu datuk yang dia memang menuntut ilmu menahan hujan dari seorang bomoh hujan yang berasal dari Selatan Siam, iaitu di negeri Patani.

"Tiga tahun aku tinggal di sana”, Pak Mardan memberi keterangannya pada datuk.

Menurut Pak Mardan, ayahnya dulu salah seorang pendekar yang terke‐nal di Perak. Berjaya memotong leher pihak lawan dalam perang Larut. Ayahnya telah diberikan 50 ekar tanah sawah oleh Sultan Perak masa itu, sebagai me‐ngenangkan jasanya. Tanah itu dikecualikan dari sebarang cukai. Bila tanah itu bertukar pada dirinya, Pak Mardan menjualkan tanah itu pada seorang jutawan Melayu dari Kuala Kangsar. Hasil wang dari jualan tanah itu, Pak Mardan membeli tanah lain di Kampung Kota. Saya tidak tahu, bagaimana datuk memujuk Pak Mardan hingga dia sanggup memberikan pada datuk beberapa petua dan amalan yang mesti dila‐kukan untuk menahan hujan. Pak Mardan juga memberitahu datuk yang dirinya ada menyimpan ilmu melompat yang dituntutnya dari arwah ayahnya dulu.

"Ilmu tu dinamakan lompat sekayu kain. Masa perang Larut dulu, ilmu itu telah digunakan oleh ayah saya bagi menewaskan pihak lawan”, Pak Mardan tersenyum bangga menceritakan tentang keperwiraan ayahnya.

Datuk menguruturut dada. Kemudian dia tersenyum sinis. Pak Mardan kurang senang dengan sikap datuk itu, lalu dia menentang biji mata datuk lamalama. Datuk juga berbuat demikian. Dari gerakan dan kelipan mata Pak Mardan, datuk dapat membaca pembawa atau peribadi Pak Mardan. Datuk tahu Pak Mardan orangnya pantang dicabar. Kesempatan itu datuk gunakan untuk menguji sejauh mana kebenaran kata‐kata Pak Mardan.

"Aku tak yakin kau ada ilmu melompat sekayu kain”, amat lantang suara datuk.

Tiba‐tiba saja Pak Mardan bangun. Dia beliakkan mata kearah datuk.

"Awak mahu saya buktikan?"

"Itulah yang sebaiknya?"

"Mari keluar"

Pak Mardan keluar dari masjid. Datuk pun begitu. Saya jadi serba salah. Dalam samarsamar lampu gasolin saya lihat jam tua yang tersangkut di tiang seri. Jarum pendek dan panjang menunjukan ke angka dua belas. Rasa dingin cukup hebat menggigit kulit badan saya. Bibir saya mengeletar. Suara katak dan cengkerik kian bertambah hebat. Datuk menghampiri Pak Mardan dengan tenang.

"Begini saja, sekarang pukul dua belas tepat. Pesan guru saya, tidak baik melakukan sesuatu tepat jam dua belas malam atau siang, banyak buruk dari baiknya”, beritahu datuk pada Pak Mardan.

Nampaknya Pak Mardan tidak membuat sebarang bantahan pada datuk. Sementara menanti jarum jam berganjak dari pukul 12.00 ke pukul 12.02 minit, datuk duduk di kaki tangga masjid. Pak Mardan berdiri di halaman masjid. Dia sudah pun memakai baju hitam dan seluar serta berselepang kain kuning. Dia membelakangi datuk.

"Datuk mahu bergaduh?", tanya saya pada datuk.

 "Tidak. Sekedar mahu menguji. Setahu aku seorang pendekar atau pahlawan tidak akan menunjukkan kebolehannya di khalayak ramai. Pahlawan selalu bersikap macam harimau menyimpan kuku”, kata datuk.

Cakap datuk itu memang benar. Sudah setengah jam masa berlalu Pak Mardan tidak juga menunjukkan kebolehan dan kemampuannya. Datuk pun mula bertindak. Dia mencabar Pak Mardan dengan membalingkan sebilah sundang ke arah belakang Pak Mardan. Dalam gelap itu Pak Mardan berjaya menyambar sundang dengan tangan kanannya lalu membalingkan ke arah datuk kembali dan datuk bagaikan kilat menangkap hulu sundang lalu ditikamkan ke batang pisang. Sundang terus melekat di situ.

Saya segera masuk ke masjid dan membawa lampu gasolin keluar. Saya letakkan di atas simen kolah tempat orang mengambil air sembahyang. Cahaya dari gasolin itu menerangi sebahagian daripada halaman masjid. Datuk terus menyerang Pak Mardan. Tujuan datuk berbuat demikian supaya Pak Mardan naik semangat. Tujuan datuk memang berjaya. Pak Mardan lalu membuat serangan balas yang cukup hebat, buah silat yang dilepaskan pada datuk cukup tajam dan cepat.

Datuk terus mengelak dan menepis hingga buahbuah silat yang ditujukan padanya tidak menjamah badan. Datuk lalu mencabut sundang dari batang pisang, menerkam ke arah Pak Mardan. Cepat‐cepat Pak Mardan melompat separas kepala datuk lalu menyepak pergelangan tangan datuk dari udara. Pak Mardan tidak berjaya, saya lihat dia bagaikan terapungapung di udara membuka silat baru, kemudian kakinya menjamah kaki bumi. Saya lihat datuk melepaskan sesuatu macam bola api ke arah kaki kiri Pak Mardan. Dia menjerit lalu melompat melepasi bumbung masjid. Pak Mardan bagaikan terbang di udara.

Tubuhnya nampak bulat macam seketul kayu itu menuju kearah pokok pisang tempat sundang terletak tadi. Lebih kurang dalam jarak empat kaki mahu sampai ke perdu pokok pisang, Pak Mardan hulurkan kaki kanannya. Dari kaki kanannya itu saya lihat keluar cahaya bulat dan memanjang, macam api andang. Saya tengar pekikan dari Pak Mardan cukup lantang, serentak dengan itu terdengar satu letupan kecil.

Saya lihat pokok pisang rebah ke bumi dan terbakar. Dalam beberapa saat saja saya lihat Pak Mardan dan datuk berdakapdakapan di halaman masjid.

"Jangan menguji saya sampai macam itu. Nasib baik saya dapat arahkan pada perdu pokok pisang, kalau pada awak sudah lain jadinya”, ucap Pak Mardan sambiI menukar baju hitam kepada baju kemeja putih.

"Saya tahu. Saya cuma menguji bukan bergaduh”, balas datuk, "awak bukan calangcalang orang"

"Ah, tiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Macam kau dengan aku ni ada kelebihan dan ada kekurangannya. Yang sempurna dan gagah hanya Allah yang Maha Besar”, sebaik saja mengakhiri cakap itu, lagi sekali Pak Mardan memeluk tubuh datuk.

Kami masuk ke masjid. Ketika saya mahu merebahkan badan di sisi datuk. Pak Mardan menghampiri saya, muka saya direnungnya lamalama.

"Belajarlah sesuatu dari datuk kamu"

 "Datuk kedekut dengan ilmu"

"Betulkah cakap cucu awak ini? Tak patut buat begini”, Pak Mardan mengajukan pertanyaan pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum.

"Tak betul tu. Ada saya curahkan ilmu penjaga diri dan beberapa petua untuknya. Saya rasa itu sudah cukup yang lain tak mustahak. Saya dah pesan gunakan ilmu itu bila ada musuh atau masa terdesak, tidak boleh di gunakan sebarangan”, ternyata penjelasan datuk itu memuaskan hati Pak Mardan.

"Zaman kami mudamuda dulu, kalau tak cukup syarat dengan ilmu di dada kami tidak merantau. Tetapi, anak anak muda sekarang ini lain pula. Adat budaya dan cakap orang tuatua di lupakan, sudah mahu merantau. Baru ada ilmu tak sampai sebuku sudah tunjuk pandai”, Pak Mardan macam merungut.

Datuk anggukkan kepala mengiakan cakapnya. Saya menguap lagi, kelopak mata terasa cukup berat.

Suara datuk dan Pak Mardan yang sedang bercakap saya dengar kian lama, kian jauh dan akhirnya saya tidak terdengar apaapa lagi.

"Bangun, bangun”, saya dengar suara datuk meninggi dan badan saya digoncang oleh Pak Mardan.

Saya membuka mata dalam gelap. Lampu gasolin tu sudah lama padam. Rasa marah mula datang dalam hati, bagaimana saya tidak marah, kalau tengah sedap tidur terpaksa bangun.

"Kenapa tok?"

"Bangun, jangan banyak cakap"

Hasrat saya untuk mengajukan pertanyaan mati bila terdengar nada suara datuk begitu keras. Datuk menyuruh saya dan Pak Mardan berpisah. Saya disuruh merangkak ke arah utara masjid, Pak Mardan ke selatan dan datuk sendiri merangkak ke arah pintu masjid.

Suara katak dan cengkerik di luar masjid berambah hebat. Saya mula terdengar deru angin melanggar ranting dan dahan kayu. Dengan tiba‐tiba bulu roma saya tegak. Dari tingkap masjid yang terbuka di tolak oleh angin, saya lihat ada api bergerak dalam gelap mengelilingi masjid. Tiba‐tiba pintu masjid terbuka dengan lebarnya kemudian terkatup dengan sendirinya, macam ada tenaga manusia menolaknya dari luar.

"Apa hajat?", teriak datuk sekuat hati.

Dan api yang bergerak mengelilingi masjid terus padam.

"Apa hajat?", ulang datuk lagi.

Saya lihat cahaya api itu datang kembali berada betulbetul di luar pintu masjid. Teriakan datuk tidak mendapat jawapan. Pak Mardan tanpa disuruh terus menghidupkan lampu gasolin. Lampu itu dibawa ke pintu masjid. Bila melihat cahaya lampu gasolin itu hati saya mula rasa tenteram. Kerana Pak Mardan sudah berdiri di samping datuk, saya segera menghampiri mereka

No comments:

Post a Comment